Total Pageviews

Sunday, April 1, 2012

PENJAGAAN KANAK-KANAK DI PUSAT ASUHAN : KRITERIA PENTING DARI SUDUT PANDANG IBU BAPA DAN PUSAT ASUHAN

Negara dikejutkan dengan beberapa isu melibatkan keselamatan kanak-kanak di pusat asuhan. Umum sedia maklum, terdapat kes-kes kematian bayi ketika dibawah jagaan pusat asuhan. Baru-baru ini kita digemparkan dengan kes rakaman video dimana beberapa orang bayi dilekatkan pita pelekat dan dibedung dengan ketat oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Ramai ibu bapa menyatakan kekesalan diatas perkara yang terjadi dan mahukan jaminan keselamatan untuk anak-anak mereka. Apa yang pasti, kes-kes sebegini pasti memberi impak kepada industri untuk mendapat kepercayaan semula dari pihak ibu bapa yang menghantar anak-anak ke pusat asuhan.

Bagi mereka yang menjalankan perkhidmatan pusat asuhan, secara tidak langsung, kes-kes seperti ini telah sedikit sebanyak menjejaskan kredibiliti mereka. Hal ini juga telah menyebabkan mereka terpaksa berdepan dengan kerisauan para ibu bapa mengenai keselamatan di pusat asuhan. Walaubagaimanapun, pihak yang menjalankan khidmat pusat asuhan kini lebih berhati-hati dalam menangani isu keselamatan kanak-kanak. Ingin dinyatakan disini mengenai kriteria-kriteria keselamatan dari sudut pandang ibu bapa dan juga pusat asuhan itu sendiri.

Kriteria yang paling dititikberatkan oleh ibu bapa ialah berkaitan soal kebersihan tempat asuhan. Golongan ibu bapa yang menggunakan khidmat pengasuh ini akan mengutamakan keadaan kebersihan kawasan tempat asuhan yang dipilih mereka. Hal ini kerana kebersihan amat penting dalam memastikan bayi atau kanak-kanak yang berada di pusat asuhan sentiasa dalam keadaaan baik dan tidak mudah terdedah kepada penyakit berjangkit. Penjagaan kanak-kanak harus dilakukan dengan sebaik mungkin, sebagai contoh, menukar pakaian atau lampin pakai buang, bayi dan kanak-kanak perlu diberi mandi dan tidak berkongsi tempat tidur secara kerap.

Ibu bapa juga berharap pihak pusat asuhan sentiasa berinteraksi dengan mereka mengenai perkembangan anak-anak semasa ditinggalkan. Hal ini membolehkan mereka membantu pihak pengasuh mengenalpasti masalah yang dihadapi anak-anak terutama soal pemakanan misalnya bagi bayi yang masih menyusu. Perlu diingatkan kecuaian semasa memberikan susu kepada bayi boleh mengundang maut. Selain itu, interaksi yang kerap antara ibu bapa dan pihak pengasuh sedikit sebanyak membantu dalam mengetahui emosi anak-anak sama ada mereka serasi bersama rakan-rakan dan juga persekitaran.

Dalam masa yang sama , ibu bapa akan melihat kriteria-kriteria yang lain seperti asas penjagaan bayi dan kanak-kanak dikalangan pengasuh yang berada di pusat asuhan mahupun persendirian. Golongan ibu bapa sentiasa mencari tempat asuhan yang mempunyai pengasuh-pengasuh yang sudah memiliki kemahiran dan pengetahuan dalam penjagaan bayi dan kanak-kanak. Selain itu juga, bagi golongan ibu bapa yang mengambil khidmat pengasuh persendirian, sentiasa menilai aspek-aspek asas sepertimana yang diutarakan terutamanya soal kebersihan, keselesaan, kemahiran dan pengetahuan serta psikologi para pengasuh. Misalnya penggunaan bahasa diri yang lembut tidak bersifat kasar, lebih bersifat keibuan dan juga menyediakan persekitaran berkonsepkan kekeluargaan.

Dalam memperkatakan isu keselamatan anak-anak di pusat asuhan, beberapa garis panduan ataupun kriteria yang diutamakan di setiap pusat asuhan antaranya adalah dengan menyediakan tempat yang selesa untuk tumbesaran dan perkembangan bayi atau kanak-kanak yang berada di bawah jagaan mereka. Hal ini selari dengan permintaan golongan ibu bapa yang mahu memastikan suasana kondusif serta kebersihan tempat asuhan diberi perhatian serius. Penyediaan ruang makan, ruang tidur dan ruang bermain sambil belajar amat penting demi keselesaan anak-anak tersebut. Tempat tidur akan diasingkan mengikut peringkat umur iaitu antara bayi berusia 2 bulan hingga setahun dan peringkat umur 2 hingga 4 tahun. Hal ini bagi mengelakkan suasana bising apabila kanak-kanak berusia 2 hingga 4 tahun bermain yang mengganggu tumpuan bayi yang masih kecil.

Sebagai persediaan khidmat asuhan, kebiasaannya pemilik pusat asuhan akan menghantar pengasuh-pengasuh yang diambil bekerja untuk menghadiri kursus asuhan kanak-kanak. Hal ini kerana ingin memastikan setiap pengasuh memiliki pengetahuan dan kemahiran yang sepatutnya bagi menguruskan bayi dan kanak-kanak dengan cara yang betul. Dengan persediaan ini, sedikit sebanyak mampu meningkatkan keyakinan golongan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke pusat asuhan. Ibu bapa setidak-tidaknya meletakkan kepercayaan kepada pusat asuhan untuk memastikan anak-anak mereka berada dibawah jagaan pihak yang berkemahiran.

Selain itu, pemasangan kamera litar tertutup (cctv) disekitar kawasan pusat asuhan juga merupakan salah satu kriteria yang dipandang berat oleh pihak berkenaan. Dengan pemasangan cctv, pemilik pusat asuhan dapat memantau setiap pergerakan pengasuh dan juga kanak-kanak yang berada dibawah jagaan. Hal ini membolehkan pemilik pusat asuhan mengenalpasti salahlaku atau sebarang perkara tidak diingini berlaku sama ada secara sengaja ataupun tidak. Untuk kes kecemasan sekiranya bayi atau kanak-kanak diserang sakit atau kecelakaan, pihak pusat asuhan akan memastikan ibu bapa mengetahui keadaan anak-anak mereka. Sama ada perlu dibawa segera untuk mendapatkan rawatan atau pun memberi ubat-ubatan mengikut keperluan. Ibu bapa harus memberi keizinan kepada pihak pusat asuhan terlebih dahulu agar setiap tindakan susulan tidak menimbulkan salah faham yang membawa keburukan kepada bayi atau kanak-kanak terlibat.

Apa yang dapat dilihat dari setiap kriteria yang digariskan oleh golongan ibu bapa dan juga pusat asuhan, kedua-duanya harus memainkan peranan dalam memastikan keselesaan dan keselamatan kanak-kanak terjamin. Golongan ibu bapa berkerjaya pada hari ini mahu tidak mahu terpaksa meninggalkan anak-anak mereka dibawah pusat asuhan sama ada swasta mahupun persendirian. Tuntutan hidup berkerjaya tidak seharusnya menghalang ibu bapa dari terus berinteraksi dengan pihak pusat asuhan kerana sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa memastikan anak-anak mereka sihat dan selamat. Meninggalkan anak-anak di pusat asuhan tidak bermakna segala tanggungjawab perlu dipikul oleh para pengasuh sebaliknya ibu bapa perlu memainkan peranan.

Dan bagi pihak pusat asuhan, sekiranya segala keselamatan dan kebersihan telah dipastikan, peganglah amanah yang diberikan oleh ibu bapa dengan menjaga kanak-kanak tersebut sebaik mungkin. Kecuaian dan kelalaian perlu dielakkan terutamanya ketika menjaga bayi yang masih kecil. Pastikan kanak-kanak sentiasa mendapat tidur yang secukupnya, keselesaan diri mereka diuruskan dengan sempurna serta menyediakan permainan-permainan dan bahan belajar yang sesuai dengan peringkat umur. Konklusinya, kes-kes keselamatan kanak-kanak yang berlaku di pusat asuhan tidak boleh dijadikan kayu ukur untuk mengatakan tidak kepada industri ini. Pokok pangkalnya, setiap segala yang terjadi dapat diibaratkan seperti kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Masih ada pusat asuhan yang menyediakan khidmat sebaik mungkin untuk anak-anak ini. Dan ibu bapa tidak boleh secara totalnya lepas tangan kepada pengasuh untuk menjaga anak-anak mereka. Bantulah seberapa yang boleh untuk pihak pengasuh memastikan anak-anak anda selamat dan sihat.

No comments:

Post a Comment