Total Pageviews

Thursday, April 12, 2012

Penerapan Nilai Agama Dalam Diri Anak-anak Di Usia Muda

Setiap keluarga Islam di Malaysia sudah pasti mahukan penerapan agama yang menyeluruh terutama dalam diri anak-anak yang semakin melonjak dewasa. Sejak dari dalam kandungan, anak-anak ini perlu dibelai dengan kasih sayang dan bagi orang Islam, setiap kandungan ini harus didekatkan dengan unsur-unsur ketuhanan. Persediaan awal perlu dimulakan apatah lagi dunia yang bakal menanti kedewasaan anak-anak ini adalah dunia yang penuh cabaran dan tanpa sempadan.

Ibu yang mengandung perlu sentiasa berzikir dan membaca ayat suci Al-Quran dalam membantu meransang perkembangan bayi mereka, juga menjadikan mereka lebih tenang dan bersedia menghadapi saat-saat kelahiran. Perdengarkanlah kepada bayi dalam kandungan alunan ayat-ayat suci Al-Quran dan zikrullah. Dengan mendengarkan alunan ayat-ayat suci ini boleh dijadikan terapi diri dan bayi itu sendiri. Bukan itu saja, penerapan nilai-nilai Islam dan unsur ketuhanan dipercayai dapat membentuk sifat anak-anak yang bakal dilahirkan nanti.

Permulaan bagi setiap ibu bapa yang menanti kelahiran anak-anak adalah saat yang sangat mendebarkan. Bukan golongan ibu sahaja, bahkan setiap bapa juga perlu bersedia dan bersama-sama menerapkan nilai ketuhanan dalam diri mereka. Bagi kaum bapa adalah digalakkan berpuasa sunat dan memperbanyakkan bacaan Al-quran dan sentiasa berdoa agar bayi di dalam kandungan dan isteri sentiasa berada dalam keadaan sihat dan selamat. Ibu dan bapa juga perlu menjaga pertuturan dan adab pergaulan diluar bersama rakan-rakan. Selain itu, memastikan pemakanan yang sihat dan halal serta sentiasa menjaga kebersihan diri.

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk perkembangan awal anak-anak. Sebagai orang Islam, antara perkara yang sering menjadi keutamaan ibu bapa dalam mendidik anak ialah melalui solat. Solat dapat membantu membentuk disiplin anak-anak. Mereka perlu mengetahui bahawa solat itu adalah asas atau tiang agama. Solat juga perlu dilaksanakan mengikut waktu-waktunya. Solat mempunyai jumlah rakaatnya sendiri dan solat juga adalah terdiri daripada pergerakan-pergerakan anggota badan yang mempunyai ertinya. Disiplin itu adalah rangkuman masa dan kepatuhan. Adalah dengan mengajar anak-anak tentang solat ketika usia muda mampu membantu membentuk disiplin mereka.

Selain itu, mengajar anak-anak berpuasa juga mampu membentuk ketahanan diri mereka. Ibu dan bapa dalam masa yang sama perlu menitikberatkan pemahaman anak-anak tentang kelebihan ibadah puasa agar anak-anak tidak merasa sia-sia dan terpaksa. Kebanyakan ibu bapa akan memberi upah ataupun berjanji untuk memberi duit raya berdasarkan jumlah hari anak-anak kecil mereka berpuasa. Ada juga yang berjanji untuk membeli kelengkapan hari raya mengikut kehendak anak-anak. Asalkan anak-anak rasa mudah dan gembira untuk belajar berpuasa, lakukanlah.

Banyak lagi perkara-perkara asas dalam Islam yang boleh diterapkan kepada anak-anak ketika usia mereka masih muda. Bawalah mereka ke surau atau masjid, hadirkanlah mereka bersama-sama didalam majlis-majlis ilmu, biasakan anak-anak menyertai aktiviti-aktiviti sambutan Maulidur Rasul, Maal Hijrah dan sebagainya. Ibu bapa ataupun datuk dan nenek juga boleh memainkan peranan mengajar anak-anak ini memulakan membaca Muqaddam, tidak berharapkan kelas KAFA semata-mata.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Begitulah peribahasa yang sering digunakan oleh masyarakat kita dalam menjelaskan betapa pendidikan ketika usia muda adalah sangat perlu. Anak kecil umpama kain putih yang perlu dicorakkan dengan “ukiran-ukiran sifat” yang sempurna sebelum mereka membesar dan mula mengenali dunia sebenar. Oleh yang demikian, didiklah anak-anak, terapkanlah nilai-nilai Islam dalam diri mereka sejak usia muda supaya mereka tidak berasa kekok dan tertinggal. Binalah keluarga Sakinah, realisasikanlah Rumahku Syurgaku kepada kehidupan berkeluarga.

No comments:

Post a Comment